KUALA LUMPUR 24 Nov. - Seramai 132,801 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dikenakan tindakan senarai hitam pengeluaran pasport oleh Jabatan Imigresen dan dihalang daripada ke luar negara sehingga 31 Ogos lepas.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, tindakan senarai hitam itu adalah langkah terakhir dalam usaha memberi peringatan kepada mereka untuk membayar balik pinjaman selepas diberi empat notis awal untuk berbuat demikian.
Menurutnya, bayaran balik itu membabitkan jumlah pinjaman sebanyak RM2.1 bilion.
"Namun, PTPTN masih berlembut terhadap peminjam yang disenarai hitam itu dengan membenarkan mereka ke luar negara sekiranya mempunyai alasan kukuh untuk berbuat demikian.
"Adalah biasa bagi saya termasuk menteri mendapat panggilan pada waktu malam daripada peminjam yang disenarai hitam merayu supaya dibenarkan ke luar negara. Kita benarkan sekiranya mereka memberi alasan yang kukuh," katanya menjawab soalan Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Menurut Saifuddin, PTPTN tidak berniat menyulitkan peminjam berkenaan kerana telah melaksanakan pendekatan yang fleksibel dalam mendapatkan bayaran balik pinjaman daripada mereka.
"Pada tempoh ini (senarai hitam), kami masih boleh berunding dengan peminjam untuk penjadualan semula bayaran pinjaman masing-masing sebelum tindakan selanjutnya diambil termasuk saman.
"Justeru, tuduhan yang mengatakan kami zalim adalah tidak benar kerana kita sangat berlembut, malah PTPTN kini berhadapan dengan masalah dalam melayan kerenah peminjam ini," katanya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Saifuddin berkata, PTPTN sentiasa menghubungi peminjam bagi mengingatkan mereka mengenai tanggungjawab membayar dan mengemas kini alamat masing-masing.
No comments:
Post a Comment